KOTA KINABALU – 15 tan barangan bantuan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dibawa pesawat A400M
milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua malam semalam.
Tiba kira-kira pukul 11.20 malam, antara barangan dibawa termasuklah 150 set peralatan perlindungan diri (PPE), 150 kotak pelindung muka, 50 kotak ‘jumpsuit’, tiga kabinet keselamatan biologi dan tiga kotak platlet darah.
Pesawat berkenaan sebelum itu melakukan penerbangan ke Kuching, Sarawak sebelum ke Tawau dan Kota Kinabalu.
Penerbangan sama turut membawa 100 kotak sarung tangan getah seberat 649 kilogram dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Komoditi selain barangan daripada Yayasan Amal Malaysia seperti 25 kotak naskah Al-Quran, dua kotak tudung, tiga kotak naskah Doa Darussyifa dan lima kotak pakaian serta peralatan lainnya.
Selain itu, pesawat berkenaan juga ditugaskan membawa 44 kotak barangan sumbangan Sunway Healthcare berisi peralatan ventilator, pelitup muka dan cecair basmi kuman serta pelitup muka dan PPE daripada Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, pesawat angkut kedua TUDM, C130H tiba di KKIA Terminal Dua pada pukul 3.25 petang bagi misi menghantar barangan keperluan kritikal untuk menangani pandemik Covid-19 di Sabah.
Berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 10.30 pagi, pesawat terbabit membawa lima tan barangan kelengkapan KKM seperti set PPE (400 kotak), pelindung muka (50 kotak) dan ‘jumpsuit’ (50 kotak).
Sementara itu, TUDM menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya sudah banyak memainkan peranan dalam membantu negara memerangi wabak Covid-19 dengan mengaktifkan pesawat-pesawat angkut bagi tujuan penghantaran bantuan.
Bermula 22 Mac hingga 27 Oktober lalu, sebanyak 17 penerbangan atau penghantaran sudah berjaya dilaksanakan TUDM dengan melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kilogram.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meninjau proses persiapan TUDM memasukkan barangan bantuan ke dalam pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang untuk penghantaran terbabit.
Beliau turut diberikan taklimat oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkaitan penugasan pesawat TUDM dalam misi membantu memerangi wabak Covid-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.-K!ONLINE