fbpx

PRK Batu Sapi, PRN Sarawak tidak dapat dielakkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PETALING JAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak dapat dielakkan dan hanya boleh ditangguhkan jika kerajaan mengisytiharkan darurat berikutan penularan Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Jelas beliau, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang saya pengerusikan hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan ramai petugas pilihan raya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan Covid-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihan raya.

“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas situasi semasa Covid-19 secara langsung melalui Facebook sebentar tadi.

Jelas Muhyiddin, kerajaan perlu mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas diadakan pilihan raya.

Muhyiddin menambah, ada juga pihak mencadangkan kepada kerajaan supaya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya.

“Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan.

“Antaranya ialah kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi Perlembagaan.

“Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah tetapi itulah demokrasi.

“Begitu juga pergerakan pengundi dari kawasan merah ke kawasan hijau juga tidak dapat dihalang. Cuba saudara dan saudari bayangkan. Kuching sekarang adalah kawasan merah yang mencatatkan lebih 70 kes Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI