Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Seorang pemuda dipercayai penghidap sawan ditemui mati lemas selepas dikatakan terjatuh dari tebing laut di Lintang Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd. Yusof Ishak, 31, dijumpai orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi.
Difahamkan, kejadian tersebut disedari beberapa penduduk di situ lalu terus memaklumkan kepada keluarga mangsa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Isparizan Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.57 pagi dan tiba ke lokasi kurang 15 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik anggota tiba di tempat kejadian mendapati mangsa telah dinaikkan ke tebing oleh orang awam dan tindakan anggota adalah dengan memberi bantuan pernafasan (CPR).
“Kita dimaklumkan yang mangsa ditemui oleh abangnya tidak jauh dari tebing berkenaan dan mangsa juga dipercayai mengalami masalah mental serta menghidap sawan.
“Kematiannya disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut dan operasi tersebut tamat sepenuh pada pukul 2.53 pagi. – K! ONLINE