PETALING JAYA – Kegiatan sekumpulan pekerja ladang warga asing melakukan pemburuan haram dengan memasang jerat dawai sejak setahun lalu berakhir apabila mereka ditahan dalam operasi di sebuah rumah kongsi di Hutan Simpan Lebir, Gua Musang kelmarin.
Operasi Bersepadu Khazanah pada pukul 4.30 petang itu membawa kepada penahanan tujuh lelaki warga Thailand dan Myanmar yang berusia 25 hingga 40 tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan mendapati rumah kongsi tersebut dijadikan markas menyimpan dan melapah hasil pemburuan haram mereka.
“Suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam pemburuan haram dengan menggunakan jerat dawai yang dipasang dalam hutan berhampiran penempatan mereka.
“Sudah hampir setahun mereka melakukan kegiatan haram ini. Kesemua yang ditahan mengaku haiwan liar tersebut diburu untuk kegunaan sendiri termasuk dimakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Abdul Kadir, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui dua kepala kambing gurun dan satu kepala kijang yang disembunyikan di dalam rumah kongsi berkenaan.
Turut ditemui kulit kijang, kuku dan daging kambing gurun.
Pihak berkuasa turut merampas sebanyak tiga jerat kabel dawai yang dipercayai digunakan untuk memerangkap haiwan liar yang dilindungi.
“Kesemua tangkapan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Kes tersebut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.-K! ONLINE