fbpx

MPM laksana Operasi Tango hapus anjing liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah menangkap sebanyak 55 ekor anjing liar menerusi Operasi Tango yang dilaksanakan disekitar daerah Manjung sejak akhir September lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, tindakan itu dilakukan bagi menyelesaikan sebanyak 171 aduan orang ramai termasuk melalui media sosial sejak Januari sehingga bulan ini.

Katanya, Skuad Tango yang terdiri daripada anggota Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan itu beroperasi pada setiap hari dan menggunakan jaring bagi menangkap anjing-anjing liar tersebut.

“Selain mengambil tindakan ke atas aduan-aduan yang diterima, skuad ini juga melakukan pemantauan pada setiap hari bagi mengenal pasti lokasi terdapatnya anjing liar sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syamsul Hazeman berkata, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh anggota skuad dalam proses menangkap anjing liar tersebut.

Menurutnya, selain berhadapan dengan anjing yang agresif, terdapat kumpulan orang awam yang mengakui anjing tersebut adalah milik mereka dan mengambilnya sewaktu tangkapan dibuat.

“Bagaimanapun mereka kemudiannya melepaskan semula anjing liar itu,” katanya.

Syamsul Hazeman berharap Operasi Tango itu akan dapat mengurangkan jumlah aduan awam berkaitan gangguan anjing liar dan seterusnya mengatasi sepenuhnya masalah anjing liar di kawasan perbandaran Manjung.

Katanya, MPM juga memerlukan maklumat daripada orang ramai berkaitan lokasi anjing liar supaya tindakan Ianjut boleh diambil.

“Di samping itu, selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993 (Akta 171), MPM juga ingin mengingatkan pemilik-pemilik anjing yang berlesen supaya mengambil langkah sewajarnya supaya anjing tidak menyebabkan kacau ganggu bunyi bising, tidak menyebabkan kacau ganggu bau, memastikan rumah anjing berada dalam keadaan bersih, memastikan anjing berikat dan mengambil langkah segera terhadap anjing berpenyakit.

“Kerjasama pemilik-pemilik anjing dalam perkara ini amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.

Beliau juga memohon kerjasama pemilik yang tidak lagi ingin memelihara anjing supaya tidak melepaskan haiwan tersebut di tempat awam tetapi perlu melupuskannya melalui kaedah yang lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan peningkatan jumlah anjing liar.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI