fbpx

Misteri watak Nicole Kidman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NICOLE KIDMAN

USAI projek drama bersiri, Big Little Lies yang ditulis dan diterbitkan individu yang sama David E. Kelley, aktres berkaliber, Nicole Kidman memilih untuk kembali bekerja dengan lelaki terbabit menerusi drama psychological thriller berjudul The Undoing.

Diadaptasi daripada novel terlaris berjudul You Should Have Known tulisan Jean Hanff Korelitz, drama yang turut dibintangi Hugh Grant, Édgar Ramírez, Noah Jupe dan Lily Rabe tersebut ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran HBO (Astro Ch 411 HD) bermula 26 Oktober lalu.

Penulis sudah menonton episod pertama drama tersebut baru-baru ini dan apa yang boleh disimpulkan, naskhah thriller berkenaan mewah dengan naratif suspen, sinematografi indah dan perkembangan karakter yang sempurna. Tidak sabar rasanya hendak menunggu episod akan datang.

Lebih menarik, kali ini HibGlam secara eksklusif diberi kepercayaan HBO menulis semula rakaman wawancara khas bersama isteri penyanyi country popular, Keith Urban itu bagi memperincikan penglibatannya dalam The Undoing.

NICOLE percayakan sebuah pasukan kreatif yang mempunyai visi besar dan mempunyai pandangan sama dengannya dalam soal naratif dan konsep pembikinan.

Mengapa memilih projek The Undoing?
NICOLE KIDMAN: Selepas Big Little Lies, saya akan lakukan apa sahaja yang Davlid Kelly ingin lakukan.
Kemudian, dia hantarkan saya dua episod pertama The Undoing dan saya terus berminat. Tiada orang lain yang menulis seperti David. The Undoing sebuah karya televisyen yang mengasyikkan dan mendebarkan.

Apa yang boleh anda huraikan tentang Grace, watak dijayakan kali ini? Dia ada pekerjaan yang bagus, suami yang penyayang dan anak lelaki yang baik. Adakah Grace mempunyai hidup yang sempurna?
Sebagaimana yang David E. Kelley katakan, manusia mempunyai kecenderungan untuk mempercayai apa yang mereka ingin percaya. Grace juga sebegitu. Dia menjalani kehidupan dalam dunianya sendiri. Itu adalah satu tempat yang tidak menentu untuknya.

Adakah perkahwinannya benar-benar bahagia atau nampak sahaja seperti bahagia?
Grace dilamun cinta, memiliki suami yang penyayang dan anak lelaki yang begitu dikasihi. Dia dipenuhi dengan kasih sayang dan karier yang hebat. Bagaimanapun, kebahagiaan hidupnya didefinisikan sebagai sebuah keluarga.

KESERASIAN antara Nicole dan Hugh Grant sebagai suami isteri sangat berkesan.

Mengapa kolaboratif bersama David E. Kelley disifatkan sesuatu terbaik?
Saya tidak pasti mengapa kami begitu tertarik terhadap jenis penceritaan yang sama. Saya rasa kami terpesona dengan perkara serupa. Dia miliki sifat ingin tahu yang tinggi, seorang pemerhati dan teguh pendirian.
Dia menulis karakter-karakter yang saya mahu terokai secara mendalam dan saya cuba sedaya upaya untuk menghormati visi itu. David Kelly, Per Saari, Bruna Papandrea dan saya bekerjasama dengan baik untuk menjadi pembikin filem.

Sebelum ini, adakah anda mengetahui tentang novel tulisan Jean Hanff Korelitz (You Should Have Known) yang merupakan inspirasi The Undoing?
Saya diperkenalkan kepada watak Grace dan dunianya oleh skrip tulisan David. Novel itu memang laris dan merupakan titik permulaan untuk siri ini, pengarangnya tahu dunia Grace dan memiliki pandangan hebat terhadap karakter-karakter ciptaannya, jadi itu sumber terbesar untuk David kembangkan.

Bagaimana pula dengan pengalaman berlakon bawah arahan Susanne Bier. Apa yang mempengaruhi keputusan anda melantiknya sebagai pengarah karya ini?
Semestinya, dia merupakan pilihan pertama dan satu-satunya pilihan kami. Saya sudah lama ingin bekerja dengannya. Susanne seorang pembikin filem yang sebenar, seorang artis juga seorang pencerita yang tahu bagaimana untuk melemparkan mantra penceritaan. Saya kagum dengan kerjanya dalam The Night Manager dan In a Better World, kami sangat bertuah apabila dia bersetuju untuk mengarah.

Bagaimana suasana berada di set penggambaran? Adakah Sussanne bercakap tentang sumbangan setiap pelakon dan adakah itu kunci kejayaan gandingan The Undoing?
Susanne membawa visi hebat yang sangat kuat. Skop dan kerumitan siri ini sangat besar. Banyak perkara perlu dilakukan tetapi semuanya ditentukan dengan visi yang sangat jelas. Dia tahu apa yang dikehendaki.

DALAM The Undoing, Nicole memainkan peranan sebagai Grace iaitu seorang wanita yang penyayang, memiliki keluarga bahagia dan sukses dalam kerjaya, namun berdepan misteri ekoran tindakan pelik suaminya.

Penggambaran mengambil masa agak panjang iaitu 90 hari dengan adegan di penjara, mahkamah, sekitar New York, di dalam pangsapuri dan balai polis. Sebagai pelakon, sekali gus penerbit naskhah berkenaan, apakah yang dapat anda rangkumkan?
Kami seperti merangkak ke garisan penamat. Satu proses yang mendesak. Grace muncul dalam hampir setiap babak dan itu agak memenatkan. Kami berada dalam persekitaran yang indah seperti Central Park dan sekitar New York, namun pada masa sama, sangat mencabar.
Penggambaran di New York pada musim sejuk penting buat pengarah dan perjalanan drama ini. Penceritaannya berkembang membawa penonton ke musim panas. Secara logiknya, sukar untuk menjalani penggambaran kerana siri ini sangat tinggi skopnya.

Bagi anda, apakah rahsia untuk menghasilkan sebuah karya thriller yang terbaik?
Penceritaan. Skop dalam nakhah bersiri agak terhad tetapi membolehkan anda menjelajahi medan emosi yang kompleks dan menarik. Karya begini mempunyai sudut pandang pembuatan filem, jadi naratif sangat penting.
Projek ini besar dan pada dasarnya, jadi kami memerlukan konsep pembikinan yang kuat untuk membuat penonton terpesona. Sangat sukar untuk mengekalkan momentum sebegitu dalam setiap episod.

MENERUSI The Undoing, bukan sahaja pelakon utama, Nicole juga menggalas tanggungjawab sebagai penerbit bersama.

Sebagai salah seorang penerbit The Undoing, aspek manakah yang paling menyeronokkan?
Saya sangat berbangga dapat menjayakan projek ini dengan sokongan David serta visi Susanne. Penerbitan adalah pekerjaan yang amat serius bagi saya. Menjayakan semuanya, melindungi projek dan menyokong artis yang terlibat. Ini adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

Bagaimana pula dengan pembabitan Hugh Grant dengan watak Jonathan? Apa keistimewaan yang dibawanya terhadap watak tersebut?
Pembabitan Hugh Grant merupakan idea pengarah (Susanne) yang saya sifatkan sangat bijak. Kami sudah lama kenal dan memang menunggu untuk bekerjasama dalam sebuah la. Daya tarikan, aura dan kebijaksanaan watak Jonathan dicernakan oleh banyak pihak. Projek ini tidak akan berfungsi tanpa kualiti itu. Hugh pelakon yang luar biasa. Dia sangat disenangi dan dia boleh menjayakan hampir apa sahaja watak.
Dia mempunyai karisma dan aura yang tidak dimiliki oleh orang lain. Itulah yang sebenarnya diperlukan untuk menjayakan watak Jonathan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI