MEKAH – Sebuah kereta didapati merempuh pintu masuk Masjidil Haram dalam satu kejadian di Mekah, Arab Saudi awal pagi tadi waktu Malaysia.
Sebuah video yang dimuat naik di laman Twitter menunjukkan kenderaan tersebut tiba-tiba meluncur laju dari pekarangan masjid sebelum melanggar beberapa penghadang yang dipasang di sekitar kawasan itu dan merempuh Pintu 89.
Akibat rempuhan yang berlaku kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan itu, pintu masjid berkenaan didapati rosak dan patah, namun tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan.
Menurut sebuah laman berita, kereta tersebut telah dialihkan dan aktiviti di Masjidil Haram sudah kembali seperti biasa tanpa sebarang penutupan dilakukan.
Sementara itu, suspek yang dipercayai pemandu kereta tersebut telah berjaya ditahan pihak berkuasa dan motif kejadian masih lagi disiasat. – Agensi