LONDON – Presiden UFC, Dana White yakin bintang seni bela campuran dunia, Khabib Nurmagomedov akan menarik semula keputusannya bersara dan percaya petinju Rusia tersebut akan kembali untuk pertarungan terakhir.
Khabib membuat keputusan mengejutkan dengan bersara selepas menewaskan Justin Gaethje pada saingan UFC 254 minggu lalu selepas meraih rekod bersih tanpa tewas iaitu 29 kemenangan.
White mendedahkan, pihaknya sudah bertemu dengan Khabib dan menjelaskan bahawa juara lightweight tersebut mengumumkan persaraannya sebelum ini kerana terlalu beremosi ketika itu.
“Khabib dan saya telah melakukan perbincangan. Pada perlawanan tersebut dia mengakui terlalu beremosi selepas berjaya menewaskan lawannya Gaethje. Saya yakin dia mungkin akan kembali ke gelanggang untuk memburu kemenangan 30-0,” kata White.
Dalam pada itu, White turut mengakui rekod kemenangan yang ke-30 merupakan harapan dan impian arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.
“Saya fikir dia (Khabib) tidak akan bersara. Bapanya ingin melihat anaknya terus berjaya. Saya fikir Khabib akan menghormati keinginan ayahnya,” tambah White.
Ketua jurulatih Khabib, Javier Mendez turut mengakui hanya masa akan menentukan kepulangannya untuk kembali bertarung.
“Melihat kepada emosinya, dia menangis dan fikirannya tidak menentu arah ketika itu. Saya yakin hanya masa akan menentukan kehadirannya ke gelanggang semula” ujarnya. – AGENSI