PUTRAJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan laman web khusus kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai panduan untuk solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.
Jawi menerusi satu kenyataan berkata, laman web, info.massajid.my itu turut menyediakan senarai penuh masjid utama, masjid, surau Jumaat dan surau Jumaat sementara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dibolehkan untuk solat Jumaat.
Menurutnya, senarai penuh 71 buah masjid dan surau untuk solat Jumaat itu dibahagikan kepada sembilan zon pentadbiran di tiga wilayah berkenaan.
“Laman web itu juga menyediakan kemudahan kepada orang awam untuk mendaftar sebagai jemaah solat Jumaat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah maksimum adalah 50 orang jemaah bagi solat Jumaat dengan penjarakan fizikal dan ia bergantung kepada keluasan surau.
Menurutnya, jumlah surau Jumaat itu akan ditambah dari semasa ke semasa, berdasarkan kelulusan Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
“Kerajaan melalui pihak berkuasa agama negeri sentiasa berusaha memenuhi hasrat umat Islam terutamanya berkaitan syiar agama seperti solat Jumaat,” katanya.
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kini berada dalam fasa dua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 28 Oktober lalu sehingga 9 November ini selepas menamatkan fasa pertama PKPB iaitu pada 14 hingga 27 Oktober lalu.-K!ONLINE