PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengagihkan bantuan keseluruhan berjumlah RM2.07 juta kepada golongan B40 dan miskin di Labuan yang terkesan dengan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantuan kewangan, kebajikan dan sosial itu dilaksanakan menerusi Inisiatif Wilayah Cakna 4.0 (IWC 4.0).
Beliau berkata, agihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Labuan (PL) bermula 31 Oktober lalu hingga 31 Disember depan membabitkan pengecualian sewa premis, pembaharuan lesen niaga, bayaran sewa perumahan, diskaun pajakan lot tanah dan baucar bantuan persekolahan.
“Kami memutuskan untuk mengecualikan bayaran sewa selama tiga bulan kepada 772 penyewa premis niaga milik PL membabitkan pengurangan hasil kepada perbadanan berjumlah RM518,055.
“Selain itu, seramai 468 orang peniaga kecil dan peniaga pasar awam milik PL turut dikecualikan bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan peniaga kecil dan pasar awam bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember ini membabitkan pengurangan hasil sebanyak RM25,275 kepada PL.
“Bagi 617 penyewa perumahan awam PL pula, mereka dikecualikan sewa rumah selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember ini,” katanya.
Katanya, sebanyak 85 buah syarikat turut diberikan diskaun pajakan tanah sebanyak 30 peratus selama tiga bulan sehingga Disember ini membabitkan keseluruhan 108 lot tanah milik PL.
Annuar berkata, kementerian menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan mengagihkan baucar bantuan buku latihan secara one-off bernilai RM100 setiap seorang yang bakal memberi manfaat kepada 2,000 pelajar sekolah di Labuan.
Menurutnya, warga Labuan juga berpeluang menikmati bayaran diskaun kompaun pada kadar tetap RM15 sepanjang tempoh PKPB sehingga 31 Disember depan.
“Kami juga bersetuju menyumbangkan RM3,000 secara one-off kepada satu Zon dan lima Sub Zon Majlis Perwakilan Penduduk WP Labuan membabitkan peruntukan berjumlah RM18,000 bagi melaksanakan program-program pencegahan Covid-19 dalam komuniti.
“Selain itu, RM200,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program nyah kuman merangkumi aktiviti-aktiviti disinfeksi serta pembersihan menyeluruh di semua kawasan kemudahan awam di Labuan,” katanya.
Annuar berkata, kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa komited menggunakan sumber yang ada dan boleh dioptimumkan sepenuhnya untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan.
Katanya lagi, selain Inisiatif Wilayah Cakna, kementerian dan agensi juga sedang merangka mekanisme lestari bagi jangka masa panjang yang diperlukan dalam usaha memastikan ekonomi terus mampan dan Wilayah Persekutuan sifar Covid-19 dapat dicapai.-K!ONLINE