fbpx

Dua pelajar sekolah ditahan buat aksi wheelie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang remaja perempuan ditahan selepas menunggang motosikal yang tidak mengikut spesifikasi selain tidak mempunyai lesen memandu.

KOTA BHARU – Dua pelajar sekolah ditahan selepas menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Tok Guru dekat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Operasi bermula pada pukul 5 petang hingga 8 malam itu diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad dengan bantuan dua pegawai dan 14 orang anggota.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pelajar berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan selepas mereka menunggang motosikal secara berbahaya.

Katanya, kedua-dua pelajar itu dipercayai menunggang motosikal dengan menunjukkan aksi ‘wheelie’ yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Kita turut menyita dua buah motosikal jenis EX5 yang ditunggang mereka sewaktu melakukan aksi berkenaan,”katanya.

Menurut Abdul Rahim, kedua-dua suspek kini ditahan dan polis akan mendapatkan perintah reman daripada mahkamah hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana mereka menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan nyawa.

“Polis turut mengeluarkan sebanyak 44 saman melibatkan pemeriksaan ke atas 27 buah motosikal dalam operasi itu.

“Kita juga mengeluarkan empat saman menunggang motosikal tanpa lesen, lesen tamat tempoh (6), insurans (5), tiada cermin sisi (4), ekzos tidak menepati piawaian (2), kesalahan nombor pendaftaran (8), tiada brek (8) dan aksesori (7),” katanya.

Menurut Abdul Rahim, operasi akan dijalankan secara berkala pada setiap hujung minggu serta hari cuti bagi membanteras kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.

Tambahnya, operasi itu juga akan dilakukan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti di daerah ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI