BINTANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin bertekad akan terus bekerja keras bersama KV Kortrijk agar terus meraih peluang membuat kemunculan bersama skuad utama Belgium itu sekali gus membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya.
Sebagai rekod, kelab kepunyaan taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu bakal melancarkan dokumentari khas esok mengenai perjalanan anak muda berusia 18 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu yang diberi judul #TheJourneyofLuqie.
Kata Luqman dalam iklan acah (teaser) dokumentari yang berdurasi dua minit itu, dia kini semakin menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana di Belgium selepas hampir tiga bulan menetap di negara berkenaan.
“Saya dalam keadaan sihat dan kini berlatih bersungguh-sungguh. Saya mahu mencapai impian dan seterusnya membanggakan rakyat Malaysia menerusi prestasi saya.
“Saya berharap semua akan terus menyokong kerana saya akan sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kortrijk, Yves Vanderhaeghe turut memuji bakat Luqman yang diberi gelaran Luqie oleh rakan-rakan sepasukannya di Kortrijk selepas membuat debut kompetitif pertama dalam saingan Liga Pro Belgium menentang RSC Anderlecht minggu lalu.
“Luqman ada potensi dan bakat besar. Kini terserah kepadanya untuk cepat menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak Eropah yang sangat kompetitif.
“Kami juga akan sentiasa memberinya ruang dan peluang untuk beraksi bagi meningkatkan lagi tahap keyakinannya kerana kita tahu jurang kualiti bola sepak di Eropah dan Malaysia agak besar,” jelasnya
Luqman berkemungkinan besar bakal disenaraikan sekali lagi dalam skuad utama Kortrijk menentang Zulte Waregem di Stadium Rainbow pada aksi Liga Pro Belgium awal pagi Selasa ini.