PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berharap semua Ahli Parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.
“Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini.
“Matlamat kita hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas situasi semasa Covid-19 secara langsung melalui Facebook sebentar tadi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Bajet 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Tambah Muhyiddin, dalam bajet yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat dalam menghadapi zaman sukar ketika ini.
Beliau memberitahu, dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.
“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19. Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800 ribu orang telah kehilangan pekerjaan, saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” jelasnya.-K!ONLINE