LONDON – Bintang tenis Kanada, Bianca Andreescu mahu melakukan persiapan lebih rapi menjelang musim 2021 selepas terlepas kejohanan Grand Slam musim ini berikutan kecederaan yang dialaminya awal tahun lalu.
Pemain berusia 20 tahun tersebut berdepan kecederaan lutut hingga menyebabkannya menarik diri pada Terbuka Australia dan turut gagal mempertahankan kemenangan Terbuka Indian Wells. Kali terakhir, Andreescu beraksi di gelanggang pada Oktober 2019.
Akibat kebimbangan wabak Covid-19, Andreescu turut membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan memberi fokus kepada proses pemulihan kecederaan.
Justeru, pemain ranking No. 7 dunia itu bertekad untuk melakukan persiapan lebih baik bagi beraksi pada saingan utama Grand Slam 2021.
“Saya gembira dengan keadaan ketika ini. Meskipun sedikit kecewa kerana tidak dapat menyertai kejohanan utama pada tahun ini, namun ia adalah pilihan terbaik agar kecederaan saya tidak berulang.
“Saya harap musim 2021 mampu menjadi penanda aras terbaik dan permulaan bagi saya untuk memburu kemenangan semula.
“Saya juga harap Covid-19 cepat pulih dan kami semua mampu kembali ke gelanggang serta menjalani latihan seperti biasa,” katanya. – AGENSI