fbpx

Wanita tipu pakej pelancongan didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Intan Nurulhaleda didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas lapan pertuduhan penawaran pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen.

AMPANG – Seorang wanita yang sebelum ini didakwa bersama suaminya menawarkan pakej pelancongan tidak wujud dan tanpa lesen, didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan sama.

Bagaimanapun tertuduh Intan Nurulhaleda Mohd. Yunus ,26, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut empat pertuduhan pakej pelancongan tidak wujud, Intan Nurulhaleda didakwa bersama-sama seorang lagi yang belum dituduh iaitu suaminya telah menipu empat mangsa dengan memperdaya mereka memasukkan sejumlah wang dengan keseluruhan bernilai RM2,676 ke dalam akaun I&I Paradise Venture melalui pindahan talian yang mana empat mangsa itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di medan selera, Taman Bukit Indah, Jalan Melawati 1 di Taman Melawati, Kondominium Bella Vista di Jalan Cahaya dan sebuah premis di Taman Sri Keramat di sini antara 20 Mei hingga 15 Ogos lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara bagi empat pertuduhan seterusnya, dia didakwa menawarkan pakej pelancongan tanpa lesen kepada empat mangsa sama tanpa suatu lesen yang sah diberikan dibawah Seksyen 5(1) Akta Industri Pelancongan 1992 pada tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan 1992 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 5 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua mangsa antaranya bekerja sebagai jurutera, pekerja insurans, pegawai akaun dan perhubungan awam.

Difahamkan suaminya tidak dibawa keluar untuk dituduh di mahkamah hari ini kerana berada dipenjara Sungai Buloh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI