PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa secara peribadi mencadangkan penganjuran Piala Malaysia 2020 bulan depan dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 yang agak kritikal ketika ini.
Beliau berkata, FAM perlu membuat penilaian suasana pandemik itu yang memberi kesan besar bukan termasuk pemain itu sendiri.
“Jika diteruskan memang tidak rugi apa-apa tetapi ia melibatkan kos tinggi dengan 16 pasukan bertanding akan tanggung rugi kerana tiada sumber pendapatan akibat tiada tiket dijual.
“Secara peribadi bagi saya elok ditiadakan langsung sebab di Eropah sendiri, ramai pemain dan jurulatih sudah dijangkiti Covid-19 walaupun berlangsung dalam stadium yang tiada penonton,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan agar Piala Malaysia 2020 ditangguhkan susulan Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Annuar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) percaya FAM selaku badan bukan kerajaan tentu ada cara tersendiri untuk mengekang penularan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Kejohanan tahunan edisi ke-94 itu dijadual bermula 6 November ini menerusi format kalah mati tanpa peringkat kumpulan dengan pentas akhir pada 22 November.
Diminta mengulas mengenai perkembangan penjenamaan semula kelab Felda United kepada Rakyat United, Annuar yang dianggap ikon Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan mengakui sudah mengadakan pertemuan kali kedua namun belum membuat apa-apa keputusan.
“Ia mungkin boleh dijadikan kelab untuk Putrajaya sebab negeri lain ada pasukan bola sepak sendiri tetapi Putrajaya masih lagi belum ada dan keadaan ini nampak agak pelik,” jelasnya.
Untuk rekod, sebelum ini pada pertemuan pertama Annuar telah memberikan cadangan kepada pengurusan Felda United mengenai hasratnya untuk menjenamkan semula The Fighters dan bersaing di pentas Liga Malaysia musim depan.