ALOR SETAR – Tiga individu termasuk dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah sebanyak RM5,000 pada bulan ini.
Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sendiri di sebuah restoran di Pulau Pinang kira-kira pukul 5.25 petang, kelmarin.
Susulan penahanan itu, SPRM menahan seorang sarjan berusia 51 tahun dan inspektor berusia 32 tahun.
Sarjan terbabit ditahan di hadapan Restoran Sri Kempas di Kulim dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang semalam diikuti inspektor di pejabatnya dua jam kemudian.
Suspek pertama dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala inspektor dan sarjan masing-masing direman selama empat serta dua hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, Muhammad Zul Hilmi Latif.
Menurut sumber, seorang lelaki meminta bantuan daripada suspek pertama bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan sama ada dia sedang disiasat di bawah kesalahan jenayah pecah rumah.
Suspek itu kemudian memaklumkan bahawa kes tersebut boleh ditutup dan lelaki terbabit tidak akan ditangkap dengan membayar wang sebanyak RM5,000 kepada seorang pegawai daripada unit siasatan melalui dirinya.
Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009,” katanya. – K! ONLINE