KOTA KINABALU – Operasi bacaan meter di semua premis pengguna bakal dilaksanakan semula Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) bermula 1 November ini.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan berkata, operasi berkenaan dilaksanakan seluruh Sabah dan Labuan dikecualikan di lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Katanya, bacaan meter membabitkan anggota kerja SESB dilakukan di semua premis pengguna akan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pembaca meter serta pengguna bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
“Semua pembaca meter SESB juga diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum mereka dibenarkan bertugas.
“Kita turut membekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap kepada pembaca meter termasuklah cecair pembersih tangan dan sarung tangan ketika mereka melaksanakan tugas selain diminta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizami berkata, pihaknya juga mewajibkan semua kakitangan yang menjalankan tugas bacaan meter memakai pakaian seragam dengam logo SESB dan kad pekerja bagi memudahkan pengguna mengenali pembaca meter SESB.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keputusan SESB melaksanakan semula bacaan meter di premis pengguna adalah bertujuan memudahkan pengguna mendapatkan bil dengan amaun sebenar.
Namuan katanya, pengguna di lokasi PKPD kekal menggunakan bil anggaran sehingga bacaan meter dilaksanakan semula apabila situasi Covid-19 di lokasi terbabit dilaporkan pulih.
Sementara itu, Norhizami mengingatkan pengguna di seluruh negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan agar berhemah dalam menggunakan elektrik sepanjang tempoh PKPB berikutan kebanyakan pengguna berada di rumah sepanjang tempoh itu.
Menurutnya, situasi terbabit secara tidak langsung berkemungkinan berlaku penambahan penggunaan elektrik dan menyebabkan bil elektrik turut meningkat.
Terdahulu, SESB sebelum ini menghentikan sementara operasi bacaan meter bermula awal bulan ini berikutan pelaksanaan PKPB dan mengambil kira situasi semasa kes Covid-19 yang tinggi.-K! ONLINE