LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Piala Malaysia kekal berlangsung seperti perancangan sebelum ini tetapi tanpa penyertaan Sabah selepas permohonan laluan khas tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mengesahkan, Sabah tidak akan terlibat dalam saingan Piala Malaysia selepas gagal mendapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November ini.
Skuad Tembadau turut ditimpa nasib malang apabila perlawanan akhir menentang UiTM FC yang sepatutnya berlangsung esok di Stadium Hang Jebat, Melaka dibatalkan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada pasukan The Lion Troops.
“Permohonan pengecualian Sabah tidak diluluskan. Ia menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat diteruskan, jadi UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.
“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari juga telah diarahkan buat Sabah jika mereka tiba ke Semenanjung seperti yang dijadualkan semalam sekali gus melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia.
“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah dalam saingan Piala Malaysia nanti akan diberikan kemenangan percuma dan secara tidak langsung mara ke suku akhir musim ini.
“Bagaimanapun, Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap mereka mengenai isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ghani turut mengesahkan, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memutuskan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa dengan 12 pasukan akan beraksi tahun depan.
“Tiada penurunan pasukan Liga Premier musim ini tetapi format biasa iaitu dua pasukan menduduki menduduki tangga ke-11 dan 12 daripada Liga Super (turun ke Liga Premier) dan dua pasukan teratas Liga Premier (naik ke Liga Super) kekal seperti biasa,” jelasnya.