fbpx

‘Rumah usang inilah mahligai kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZAILAH bersama dua anaknya di hadapan rumah usang mereka di Lorong Mesra, Jalan Padu, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Tatkala hujan membasahi bumi, tiap kali itulah mereka akan basah kuyup dan kesejukan selain perlu berdepan ancaman binatang berbisa se­perti ular dan lipan.

Itulah kesukaran hidup yang perlu dilalui sebuah keluarga yang mendiami sebuah rumah usang di Lorong Mesra, Jalan Padu, Kawasan Perindustrian Tampoi di sini.

Rumah usang itu dihuni pengutip barang terbuang, Mohd. Akmal Hisham, 32, bersama isterinya, Norzailah Yahya, 32, serta tujuh anak mereka berusia antara 2 hingga 16 tahun.

Norzailah berkata, rumah u­sang milik keluarganya itu menjadi mahligai mereka sejak lebih 15 tahun lalu selepas ibunya pulang ke negara asal, Thailand.

“Sebelum ini, emak yang tinggal di rumah ini dan di sini jugalah saya dilahirkan. Selepas saya kahwin, emak serah rumah ini kepada kami dan dia pulang ke kampung halaman.

“Sejak itulah kami sembilan beranak tinggal di sini. Tengoklah keadaan rumah kami, bumbung bocor dan setiap kali hujan seluruh kawasan rumah akan basah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, hidup mereka juga diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Norzailah menunjukkan keadaan bumbung rumahnya yang rosak menyebabkan mereka sekeluarga basah ketika hujan.

Norzailah berkata, dia dan suaminya hanya bergantung dengan rezeki menjual besi buruk dan barang kitar semula dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

“Itu pun kalau ada rezeki, kalau tidak terpaksalah kami ikat perut tak makan. Suami pernah bekerja dengan orang sebelum ini tetapi gaji tidak bayar, itu sebab dia berhenti kerja,” katanya.

Norzailah berkata, mereka tidak menerima sebarang bantuan bulanan daripada mana-mana pihak kebajikan melainkan bantuan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Akibat kesempitan hidup, pasangan itu tidak mampu menyekolahkan kesemua anak mereka.

Sementara itu, Presiden Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kesudian orang ramai terutamanya syarikat korporat dan orang perseorangan untuk membantu mencari dana dan membaiki rumah keluarga Norzailah.

Katanya, mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 013-706 5553 kerana keluarga itu tidak mempunyai alat telekomunikasi untuk berhubung.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI