MANCHESTER – Penyerang prolifik Manchester United, Marcus Rashford berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meledak hatrik ketika membantu pasukannya membelasah RB Leipzig 5-0 pada aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara di Stadium Old Trafford awal pagi semalam.
Rashford, 23, mendedahkan, kejayaannya itu disebabkan arahan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer yang menggunakan taktik permainan dengan tempo pantas dalam usaha merobek gawang gol jaguh Jerman tersebut.
Ia terbukti apabila The Red Devils berjaya meraih empat jaringan dalam babak kedua selepas sekadar berupaya menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama menerusi Mason Greenwood.
“Pengurus memberitahu kami supaya bermain dengan tempo pantas. Beliau merasakan ia akan mewujudkan banyak ruang kosong sekali gus memudahkan kami melakukan banyak hantaran berbahaya ke arah gawang lawan.
“Kami seolah-olah mampu menjaringkan gol dalam setiap gerakan yang dilancarkan bermula daripada Bruno (Fernandes), Paul (Pogba) dan Anthony (Martial). Saya tidak boleh meminta lebih lagi kerana kami sudah bermain dengan baik sebagai satu pasukan,” kata Rashford.
Selain jaringan Greenword serta ledakan hatrik Rashford (m-74, 78 dan 94), satu lagi gol United dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Martial selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87.
Kemenangan itu menyaksikan United kini memimpin carta Kumpulan H dengan enam mata selepas terdahulu berjaya menewaskan finalis musim lalu, Paris Saint-Germain 2-1. – AGENSI