LONDON – Ketinggalan 14 mata di belakang pelumba Suzuki, Joan Mir bukan berita baik buat pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo apabila perlumbaan kini hanya berbaki tiga pusingan sebelum menutup tirai.
Kegagalan menaiki podium di Aragon selepas sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan kelapan pada Grand Prix (GP) Teruel minggu lalu membuatkan peluang pelumba Perancis itu tampak sukar untuk memburu kejuaraan dunia sulung MotoGP musim ini.
Justeru, Quartararo berharap dapat melakukan yang terbaik menjelang dua perlumbaan di Valencia selain mengharapkan magis jentera YZR-M1 tidak berdepan masalah sekali gus mengatasi Suzuki nanti.
“Perkara positif yang kita peroleh di Aragon adalah kita tidak akan menamatkan saingan di kedudukan ke-18 lagi. Jika tidak kita akan ketinggalan 40 mata. Ketika ini 14 mata masih banyak tetapi kita ada baki tiga perlumbaan yang harus dilalui.
“Sekarang kita mempunyai dua perlumbaan di Valencia dan saya yakin Valencia adalah litar yang baik buat Yamaha. Jadi, saya fikir kita mampu peroleh keputusan baik di sana dan tampil lebih konsisten. Tidak seperti di Aragon.
“Selepas itu, kita akan ke Portimao dan ia merupakan litar kegemaran saya. Saya harap mampu menemui rentak terbaik semula bersama jentera,” katanya.
Quartararo mempunyai peluang untuk kembali memimpin perlumbaan MotoGP musim ini sekiranya Mir gagal mengutip sebarang mata di Valencia. – AGENSI