SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji buat penjawat awam di negeri ini melibatkan Gred 54 ke bawah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bayaran itu akan dilakukan pada 29 Disember depan.
Menurutnya, pemberian BKK itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam yang sentiasa memberikan komitmen yang terbaik.
“Saya hargai usaha serta komitmen para penjawat awam yang tidak kenal erti penat lelah dalam bersama-sama memakmurkan negeri ini.
“Justeru itu, sukacitanya saya mengumumkan BKK kali kedua untuk tahun ini,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Difahamkan, terdapat lebih 18,000 penjawat awam yang bakal mendapat bantuan tersebut.
Jelas beliau, pemberian insentif kali pertama sebelum ini juga sudah dilakukan kerajaan negeri kepada penjawat awam membabitkan gred yang sama.
“Ia melibatkan bayaran sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam Gred 54 ke bawah pada 9 Jun lalu,” ujarnya.
Sebagai rekod, insentif kali kedua pada tahun ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM16.5 juta. -K!ONLINE