MELAKA – Kerajaan negeri ini buntu selepas semua Pelan Pelancongan Melaka yang dirangka bagi merancakkan semula sektor itu yang “terlangkup” selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pelbagai mekanisme dilaksanakan seperti promosi harga, pakej-pakej menarik, peningkatan kualiti dan pembersihan berkala tidak membuahkan hasil.
Jelasnya, sasaran menarik kehadiran 5.6 juta pelancong menjelang hujung tahun ini juga dilihat semakin samar.
“Saya tak tahu macam mana lagi nak buat kerana sudah macam-macam cara kita lakukan, sejak PKPB dilaksanakan di Lembah Klang, pelancong sasaran dari tiga negeri ini tidak dapat datang khususnya pada hujung minggu.
“Semasa gelombang pertama dahulu kerajaan negeri masih ada rizab yang baik jadi kita tidak terlalu terkesan teruk dan berharap tidak berlaku gelombang seterusnya tetapi akhirnya ia berlaku juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datin Zuraida Kamaruddin di Taman Klebang Utama, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pihaknya benar-benar berharap agar rantaian kes positif Covid-19 dapat segera ditangani agar negara tidak perlu berada dalam perintah PKPB, sekali gus mengembalikan rentak ekonomi sektor perlancongan.
Sementara itu, mengulas mengenai Bajet negeri Melaka dan Persekutuan 2021 yang akan dibentangkan, beliau berharap sektor pelancongan mendapat penekanan yang mencukupi selepas terjejas terus akibat pendemik Covid-19.
Jelasnya, antara diharapkan adalah kewujudan rizab sebagai sokongan yang dapat disalurkan kepada pemain industri pelancongan sekiranya sektor itu terpaksa berdepan cabaran getir pada masa hadapan.
“Apabila berlakunya Covid-19, kita mula sedar betapa pentingnya rizab untuk pelancongan dan saya sangat berharap bajet Persekutuan dan negeri dapat memikirkan satu jumlah rizab bagi industri pelancongan sekiranya berlaku musibah seperti ini.
“Jika ada rizab tersebut, kita dapat menggunakanny untuk bertahan dalam tempoh sukar, sekali gus dapat mengelakkan pembuangan pekerja,” katanya. – K! ONLINE