PETALING JAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjawab persoalan netizen di laman Twitter yang mengaitkan beliau dengan sebuah persatuan amal yang didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan Zionis.
Noor Hisham menerusi satu ciapan menafikan perkara tersebut dan menjelaskan perkara sebenar kepada netizen bagi mengelakkan salah faham berterusan.
“Saya bukan ahli persatuan itu, tetapi sekadar menerima penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberi penghormatan kepada penaung persatuan tersebut,” katanya di laman Tweeter di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna memuat naik sekeping gambar yang memaparkan Noor Hisham berdiri bersebelahan seorang lelaki warga asing dalam keadaan memakai selempang disertai dengan potongan artikel mengaitkan persatuan tersebut dengan gerakan zionis.
Noor Hisham melalui satu lagi ciapan turut menyertakan pautan ke laman Facebook miliknya bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku di dalam gambar tersebut.
Menerusi pautan tersebut, pengguna akan di bawa ke satu kemaskini status bertarikh 3 Februari 2018 yang menceritakan penganugerahan Fellowship Ad Hominem of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Scotland kepada Noor Hisham.
“Bagi seorang pakar bedah dan pentadbir, penganugerahan Fellowship Ad Hominem daripada College of Surgeons yang tertua dan terbesar di dunia sememangnya satu penghormatan dan pencapaian seumur hidup tertinggi yang boleh dicapai oleh seseorang.
“Yang lebih penting, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan global dari rakan sejawatan antarabangsa saya di peringkat tertinggi. Saya amat terharu dan teruja dengan penganugerahan ini yang merupakan satu penghormatan untuk saya dan negara,” katanya menerusi kemaskini itu.
Seorang pengguna Twitter dengan nama vhinoth suppiah mempersoalkan tindakan bertanya soalan sedemikian pada masa negara diserang Covid-19.
“Di saat-saat getir melawan Covid-19, Dr. Hisham perlu menjawab soalan orang sebegini,” katanya disertai dengan emoji menepuk dahi.
Seorang lagi pengguna Twitter dengan nama heyrunnnn berkata perkara sebegitu tidak perlu diciap bagi mengelakkan salah faham.
“Tak perlu nak tweet (ciap) seperti itu kerana boleh menjadi salah faham. DG (Noor Hisham) pun sekarang berhempas pulas bersengkang mata dengan pandemik ini (Covid-19),” ciapnya.-K! ONLINE