PAGOH- Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pekerja warga asing yang telah menetap di Malaysia untuk terus bekerja bagi meningkatkan sektor perladangan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kaedah itu l meliputi kumpulan pekerja asing yang telah tamat permit dan tidak mampu pulang ke negara asal berikutan
penutupan pintu sempadan ketika ini.
Katanya, ia melibatkan pemberian pas pekerja sementara atau lesen melalui kaedah pemutihan mahupun pengampunan bertujuan menggunakan khidmat kumpulan itu.
“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor berkenaan kerana keadaan yang kurang selesa. Yang mahu bekerja dalam sektor itu adalah warga asing seperti Bangladesh, Indonesia dan lain-lain.
“Tetapi dalam keadaan pandemik Covid-19 mereka (pendatang baharu) tidak dapat masuk ke Malaysia untuk bekerja. Jika kita beri mereka masuk, risiko pembawaan virus berkenaan kepada rakyat Malaysia akan lebih teruk,” katanya pada program Sembang Santai Bersama Masyarakat Cina dan Pertubuhan NGO Parlimen Pagoh, hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, perkara tersebut akan diperjelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat.
“Dalam tempoh ini kita akan mencari kaedah yang terbaik untuk membenarkan warga asing yang masuk secara haram bekerja di negara dalam tempoh satu atau dua tahun ini.
“Selepas itu jika sudah tamat tempoh pemutihan berkenaan, mereka perlu pulang ke negara masing-masing,” katanya.
Tambah Muhyiddin, pengumuman kebenaran itu tidak akan dibuat kerana bimbang sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) akan mengambil kesempatan. – K! ONLINE