WOLVERHAMPTON – Kapten Wolverhampton Wanderers, Conor Coady menagih sentuhan tajam penyerang sensasi, Raul Jimenez untuk mengutip tiga mata penuh menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace di Stadium Molineux awal pagi esok.
Sebagai rekod, penyerang antarabangsa Mexico itu kembali menemui penyudah berbisanya apabila sudah berjaya meledak empat gol dalam saingan EPL musim ini sekali gus terus menjadi pertaruhan utama buat skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu.
Justeru, Coady berharap Jimenez dapat menunjukkan aksi konsisten sepertimana dilakukannya dalam beberapa musim kebelakangan ini sejak berhijrah menyertai Wolves daripada Benfica tiga musim lalu.
“Sukar untuk menggambarkan pasukan tanpa kelibat Jimenez kerana dia sudah menjadi ayam tambatan buat kami sejak tiga musim lepas.
“Malah, peningkatan prestasinya juga wajar dipuji kerana dia bukan sahaja boleh menjaringkan gol tetapi turut rajin turun bertahan ketika pasukan berada dalam tekanan.
“Saya harap dia dapat meneruskan momentum ketika menentang Palace yang mempunyai barisan pertahanan berkualiti. Kami jangkakan ia akan menjadi perlawanan sukar tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit,” katanya.
Sementara itu, Santo berharap Jiminez tidak terlalu berpuas hati dengan prestasi peribadi, sebaliknya terus bekerja keras memperbaiki kelemahan ketara pasukan ketika ini.
“Kami banyak mensia-siakan peluang jaringan sejak kebelakangan ini selain terlalu mengharapkan gol daripada Jimenez. Saya harap pemain lain khususnya di posisi serangan bersama-sama memikul tanggungjawab ini,” jelasnya. – AGENSI