fbpx

JIM selamatkan warga Nepal dieksploitasi jadi buruh paksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam warga Nepal diselamatkan JIM dalam satu operasi di Petaling Jaya, 27 Oktober lalu selepas dipercayai dieksploitasi majikan sebagai buruh paksa.

PUTRAJAYA – Nasib malang enam lelaki warga Nepal yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sebuah syarikat pengawal keselamatan berakhir selepas mereka diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.

Kesemua mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa selepas tidak dibayar gaji selama kira-kira enam bulan oleh majikan mereka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mangsa dalam lingkungan 30 hingga 40 diselamatkan dalam satu operasi di Petaling Jaya pada 27 Oktober lalu.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan hasil risikan, pemeriksaan dilakukan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sebuah premis kediaman yang dijadikan asrama penginapan pekerja.

“Hasil pemeriksaan menemui enam lelaki warga Nepal dalam premis tersebut.

“Premis kediaman itu dilihat dalam keadaan daif, sempit dan tidak selesa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua mangsa mendakwa mereka kini tidak bekerja dan tidak dibayar gaji selama kira-kira enam bulan.

“Hasil temubual mendapati mangsa juga telah diabaikan oleh majikan dengan tidak diberikan sebarang bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang mereka tidak diberikan gaji.

“Mangsa turut mendakwa pihak majikan enggan menemui mangsa meskipun beberapa kali cuba dihubungi,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, beberapa dokumen hasil pemeriksaan pejabat majikan dirampas serta wakil syarikat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, kesemua mangsa telah menjalani saringan Covid-19 dan didapati negatif oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa diselamatkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan diberi perlindungan serta ditempatkan di Rumah Perlindungan.

“Majikan dan pemilik syarikat tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan memperdagangkan orang bagi maksud eksploitasi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI