KOTA KINABALU – Sebanyak RM34,874,400 peruntukan disalurkan buat industri pertanian di negeri ini bagi mengurangkan impak negatif penular wabak Covid-19 ke atas industri terbabit.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, peruntukan berkenaan dilihat mampu memberi manfaat kepada 116,248 penerima yang berdaftar di bawah kementerian membabitkan pelbagai segmen industri pertanian di Sabah.
“Bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM300 bakal diberikan kepada setiap pemerima.
“Bagaimanapun, senarai ini bukanlah menyeluruh dan bagi mereka yang tercicir, permohonan bantuan akan tetap dipertimbangkan sekiranya mereka berdaftar dengan semua jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya.
Menurutnya, dana itu adalah sebahagian daripada jumlah bantuan kerajaan bagi membantu golongan B40 merangkumi sektor lain termasuklah pemandu teksi, bas dan lori selain pemain industri pelancongan.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bakal memproses dokumentasi bagi bantuan tunai ini.
“Ia kemudiannya dihantar ke Jabatan Perbendaharian Negeri bagi pembayaran yang akan dikreditkan secara langsung ke dalam akaun penerima,” ujarnya. – K! ONLINE