IMPIAN rakyat Malaysia menyaksikan kelibat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kekal beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) akhirnya terjawab selepas pasukan berpangkalan di Eropah bersetuju menyambar khidmatnya musim depan.
Masa depan Hafizh, 26, menjadi tanda tanya selepas pasukannya, Aspar Team membawa masuk Albert Arenas dari Sepanyol yang sebelum ini beraksi dalam kelas Moto3 bagi menggantikan tempat pelumba berusia 26 tahun itu untuk saingan Moto2 musim hadapan.
Pengurus Hafizh, Razmin Masli Abdul Razak berkata, jika tiada masalah, pihaknya akan mengumumkan berita gembira itu secara rasmi menjelang dua perlumbaan di Valencia, Sepanyol nanti.
“Perbincangan bersama pasukan baharu Hafizh untuk musim 2021 sudah selesai. Hafizh akan kekal beraksi dalam saingan Moto2 musim depan.
“Pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Hafizh ini berpangkalan di Eropah dan pengumuman selanjutnya akan dibuat dalam masa terdekat. Jika semua berjalan lancar, kita akan umumkan secara rasmi ketika perlumbaan di Valencia,” kata Razmin dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Razmin turut berharap Hafizh dapat memberikan prestasi terbaik dalam baki tiga perlumbaan Moto2 musim ini selepas spekulasi mengenai masa depannya kini sudahpun terjawab.
“Saya berharap dengan selesainya perbincangan untuk 2021, Hafizh akan lebih bersemangat dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk baki tiga pusingan musim ini,” jelasnya.
Kini, Hafizh perlu menampilkan prestasi lebih bertenaga dalam tiga Grand Prix (GP) terakhir iaitu GP Europa (8 November) dan GP Valencia (15 November) di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol serta GP Portugal di Litar Algarve, Portimao pada 22 November ini.