DORTMUND – Penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland berpuas hati apabila membantu pasukan meraih kemenangan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Zenit St. Petersburg 2-0 awal pagi semalam.
Kata Haaland, kemenangan itu tidak mudah kerana Zenit guna corak permainan bertahan hingga sukarkan jentera serangan Dortmund meraih gol pada babak pertama.
“Saya tidak tahu kenapa tetapi strategi pasukan lawan yang lebih berminat untuk bertahan dan sukar buat kami untuk menembusi benteng mereka walaupun mendominasi sebahagian besar perlawanan.
“Namun, situasi berbeza pada babak kedua apabila menyaksikan pasukan lawan sudah kepenatan dan bermula dari situ kami mula mencipta banyak peluang. Saya cukup gembira apabila dapat menjaringkan satu gol pada aksi kali ini,” katanya.
Pada aksi tersebut, pemain sayap lincah, Jadon Sancho berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-78 sebelum penyerang antarabangsa Norway itu menggandakan jaringan pada masa kecederaan.
Sementara itu, ketua jurulatih Dortmund, Lucien Favre percaya pasukannya berhak meraih tiga mata penuh selepas menjadi skuad yang lebih dominan berbanding Zenit tetapi perlu bersabar sebelum berjaya memecah kebuntuan jaringan.
“Pasukan bermain dalam tekanan pada perlawanan ini kerana taktikal negatif yang dipamerkan oleh skuad Zenit. Kami terpaksa bersabar menanti peluang dan terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir untuk menjaringkan gol,” katanya. – AGENSI