PETALING JAYA – Selepas setahun menghilangkan diri dari radar industri hiburan tanah air, pelakon dan pengacara, Karl Shafek mendedahkan dia bukan sahaja menderita kemurungan malah terkena buatan orang.
Pemilik nama sebenar, Khairul Shafek Ibrahim, 40, itu memberitahu, dia sudah mendapatkan rawatan tradisional pada Februari lalu selepas matanya bernanah dan penglihatannya kabur.
“Doktor memaklumkan saya menghidap autoimmune disease iaitu badan manusia menghasilkan antibodi sendiri yang menyerang sel-sel badan atau organ.
“Saya juga mendapatkan rawatan tradisional. Selain mata bengkak dan bernanah, saya berasa seperti ada semut merayap (pada mata). Orang yang merawat memberitahu saya terkena santau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Karl Shafek, dia berada di kampungnya di Pekan, Pahang selama tiga bulan untuk dapatkan rawatan.
“Saya pernah memuntahkan paku, besi karat, gumpalan rambut dan mata kail.
“Mungkin orang lain fikir ia mengarut, tetapi saya sendiri yang merasai seksanya,” katanya.
Kelmarin, pelakon filem Zaiton Ceritaku itu sekali lagi berasa seolah-olah ‘diserang’ santau yang pernah menyeksa tubuhnya sebelum ini.
“Apabila saya meluahkan hasrat untuk membuat kemunculan semula dalam industri, penyakit ini akan datang.
“Saya sudah mendapatkan rawatan di hospital mata di Petaling Jaya. Mata saya juga membengkak dan bernanah sama seperti yang dilalui lapan bulan lalu,” katanya.
Mengulas mengenai masalah kemurungan yang dihadapinya sejak setahun lalu, pemilik jenama pakaian Neo Clothing itu mengakui, dia pernah cuba membunuh diri empat kali.
Karl Shafek mendedahkan, dia juga menderita sakit belakang kronik sehingga sukar untuk bangun dari katil sejak empat tahun lalu.
“Saya tidak boleh membaca atau mendengar berita orang bunuh diri terutama melibatkan artis K-pop kebelakangan ini.
“Saya tidak segan untuk mengakui sudah empat kali cuba membunuh diri yang mana tiga kali sebelum mendapatkan rawatan dan sekali ketika menerima rawatan,” katanya.
Kata pelakon drama Rindu Awak 200% itu, dia mendedahkan perkara tersebut bukan untuk meraih simpati.
“Saya mendoakan sesiapa yang mengalami masalah seperti saya supaya cepat sembuh dan jangan rasa ada malu untuk meminta bantuan orang sekeliling.
“Apabila kita jatuh, baru kita tahu siapa kawan dan siapa lawan,” kata pengacara Bual Bicara TV9 dan Chopp itu.- K! ONLINE