NIAT murni Kartika Asirah Mahir untuk membantu suaminya mencari pendapatan sampingan menerusi bidang penstriman sejak awal tahun ini, tidak semudah disangka kerana perlu berdepan rintangan yang cukup besar.
Namun, Kartika yang lebih mesra dengan panggilan Seerah, tidak mahu menoleh ke belakang apabila pelaburannya dari segi masa, tenaga dan wang akhirnya berjaya menuai hasil selepas laman sosial Facebook miliknya kini sudah mempunyai button supporters awal bulan ini.
Kata Seerah, minat yang mendalam terhadap permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) membuatkannya berusaha untuk bertapak dalam bidang penstriman yang kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.
“Saya mula menceburi arena penstriman sepenuh masa bermula Mac tahun ini selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan wabak pandemik Covid-19.
“Hasrat saya disokong penuh suami yang kebetulan sumber pendapatannya turut terjejas kerana majikan memotong gajinya disebabkan ekonomi yang tidak stabil ketika ini.
“Pada awalnya, saya agak bergelut untuk menarik perhatian penonton disebabkan kekurangan kelengkapan peralatan penstriman kerana kekangan kewangan sekali gus menjejaskan kualiti video.
“Namun, selepas lebih enam bulan berusaha akhirnya Facebook saya telah diiktiraf dan boleh menjana pendapatan hasil sumbangan followers yang menyaksikan secara langsung sekali gus dapat memberi rezeki tambahan buat keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Seerah yang juga bekas pramugari syarikat penerbangan terkemuka di Asia Barat mengakui, percaturannya untuk fokus dalam bidang penstriman adalah sangat tepat selepas berjaya meraih lebih daripada 19 ribu pengikut di Facebook.
Kata Seerah, keinginan untuk bermain PUBGM secara profesional sememangnya ada tetapi sukar direalisasikan buat masa ini kerana perlu memberi perhatian kepada anak pertamanya yang baru berusia setahun.
“Ketika ini saya adalah suri rumah sepenuh masa dan suami pula bekerja. Justeru, saya hanya dapat memberi tumpuan melakukan penstriman bermula jam 8 hingga 11 malam.
“Buat masa ini, saya hanya menyertai kejohanan e-Sukan berskala kecil dan belum boleh bersama pasukan profesional lagi kerana takut tidak dapat memberikan komitmen penuh untuk menjalani latihan nanti.
“Namun, saya mempunyai impian untuk membina jenama sendiri dalam arena e-Sukan tanah air termasuk menubuhkan pasukan profesional. Saya harap cita-cita itu dapat direalisasikan meskipun sedar ia memerlukan dana yang besar,” kata wanita berusia 27 tahun berasal dari Pahang itu.