PETALING JAYA- Keanggotaan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan masih mencukupi bagi menangani wabak Covid-19 meskipun lebih 10,000 daripada mereka sedang dikuarantin ketika ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa bersedia bagi mendepani situasi itu dan akan menambah pegawai dan anggota dari kawasan lain.
“Kita bersedia jika ada kes anggota berkurangan dan akan menambah keanggotaan daripada kawasan atau cawangan lain.
“Setakat ini, kita mampu memindahkan (anggota) bagi membantu anggota PDRM yang dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live Kementerian Pertahanan di sini tadi.
Katanya, rakyat tidak perlu bimbang berkenaan hal tersebut dan kerajaan sentiasa bersedia menambah anggota bagi memerangi Covid-19. -K! ONLINE