PENYANYI Minchan menjadi selebriti terkini yang berdepan masalah kesihatan mental. Dia disahkan mengalami serangan kebimbangan psikologi. Perkara tersebut didedahkan agensi Jellyfish Entertainment dengan memberitahu, masalah kesihatan Minchan semakin memburuk ketika dia sibuk mempromosi album baharu kumpulan Verivery.
“Kesihatannya semakin teruk dan mengalami simptom serangan kebimbangan psikologi. Bagaimanapun, dia telah pun mendapatkan rawatan menerusi terapi dan perubatan.
“Situasi ini menyebabkan dia perlu berehat panjang dan selepas melalui perbincangan teliti, Minchan diberi tempoh untuk fokus kepada kesihatannya,” ujar agensi itu menerusi satu kenyataan.
Keadaan tersebut sekali gus menyebabkan Minchan tidak dapat menyertai semua aktiviti Verivery termasuk agenda promosi album mini kelima mereka.
“Kami mengambil keputusan ini kerana kesihatan artis naungan adalah paling utama. Jadi kami sangat mengharapkan peminat untuk memahami situasi ini,” katanya lagi.
Verivery baru sahaja meluncurkan album mini kelima mereka berjudul Face Us pada hujung September lalu.