TURIN – Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Juventus pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Juventus awal pagi semalam adalah persembahan terbaik skuad bimbingannya musim ini.
The Catalans berjaya membuatkan Juventus tidak memiliki sebarang percubaan tepat ke arah gawang gol mereka yang turut menyaksikan tiga jaringan penyerangnya, Alvaro Morata dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
“Ini adalah perlawanan terbaik kami musim ini. Ia juga satu kemenangan yang cukup berharga diraih ke atas salah satu pasukan terbaik di Eropah.
“Kami bermain dengan cukup baik selain berjaya menyekat setiap gerakan-gerakan berbahaya Juventus.
“Saya cukup gembira dengan keseluruhan prestasi walaupun bagi saya, kami mungkin dapat ‘membunuh’ perlawanan itu lebih awal lagi sebenarnya,” kata Koeman.
Dua gol Ousmane Dembele dan Lionel Messi kembali meletakkan Barcelona pada landasan kemenangan selepas tewas 1-3 kepada musuh tradisi, Real Madrid dalam pertembungan El Clasico pada aksi La Liga minggu lalu.
Turut cemerlang ialah pemain pertahanan kanan Barcelona, Sergi Roberto selepas berjaya melengkapkan 94.5 peratus hantaran selain keampuhannya menyekat setiap gerakan Juventus yang banyak melakukan gerakan menerusi pemain sayap kiri, Federicho Chiesa.
Pada masa sama, ketiadaan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo yang masih menjalani kuarantin selepas positif Covid-19, merupakan salah satu faktor ketumpulan jentera serangan The Old Lady yang dimanfaatkan sebaiknya oleh Barcelona dalam perlawanan itu. – AGENSI