“Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan yang telah memberikan saya segalanya. Terima kasih juga kepada arwah bapa dan rakan-rakan yang bersama saya selama 10 tahun ini.
“Saya ingin memaklumkan di sini, ini adalah pertarungan terakhir saya. Saya tidak mahu lagi bertarung tanpa bapa di sisi.”
Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut bintang seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov selepas pertarungan dengan Justin Gaethje pada saingan UFC 254 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu pada hujung minggu lalu.
Khabib berjaya menumbangkan jaguh tinju dari Amerika Syarikat (AS) itu menerusi kiraan knockout pada pusingan kedua selepas melakukan teknik kuncian triangle choke.
Dalam ucapan kemenangan, petinju berusia 32 tahun itu mengumumkan persaraan dalam UFC selepas kehilangan bapa yang merangkap jurulatihnya, Abdulmanap Nurmagomedov.
Abdulmanap meninggal dunia pada Julai lalu ketika berusia 57 tahun selepas mengalami komplikasi akibat jangkitan penyakit Covid-19.
Pengumuman tersebut ternyata menggemparkan arena UFC memandangkan bintang Rusia tersebut berada pada kemuncak prestasi dengan mencatatkan rekod 29 kemenangan tanpa kalah.
“Apabila UFC memanggil saya untuk berentap dengan Gaethje, saya telah berbincang bersama ibu selama tiga hari.
“Saya berjanji kepada ibu untuk bersara dan itu harus ditunaikan,” ujarnya sambil mengalirkan air mata.
Rekod
Kejayaan diraih Khabib pada malam itu merupakan kali ketiga selepas mempertahankan kejuaraan lightweight yang disandangnya.
Kali pertama dia mempertahankan kejuaraan tersebut ialah Oktober 2018 selepas menewaskan petinju Ireland, Conor McGregor dalam aksi UFC 229.
Kemenangan itu diteruskan apabila dia menewaskan petinju AS, Dustin Poirier pada September tahun lalu dalam saingan UFC 242.
Khabib juga merupakan pemegang rekod pertarungan tanpa kalah terbanyak dalam sejarah UFC dan dianggap sebagai petempur paling handal dalam kategori lightweight.
Mengulas mengenai alasan sebenarnya bersara, Khabib menjelaskan, dia ingin hidup bebas dan menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman.
Jelasnya, meskipun dia dapat memiliki kekayaan seluruh dunia, suatu hari nanti pasti berakhir jua selepas menemui ajal.
“Suatu hari karier saya pasti akan berakhir dan saya ingin memulakan hidup baharu tanpa perlu ditemu bual, membina badan, latihan dan memberi fokus kepada perlawanan.
“Di dalam hidup, saya tidak minta banyak. Jika anda jutawan sekalipun, anda tetap makan sebuku roti sehari,” tuturnya dalam satu temu bual di media sosial.
Khabib dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana bersama abangnya, Magomed dan adik perempuan, Amina. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah wilayah pergunungan, Dagestan, Rusia yang dihuni oleh penduduk-penduduk beragama Islam.
Masyarakat di wilayah pergunungan sejuk itu amat terkenal dengan budaya bertempur terutamanya dalam sukan gusti atau tinju.
Disebabkan itulah, Abdulmanap yang juga merupakan seorang veteran perang mengarahkan Khabib supaya mempelajari ilmu gusti atau tinju sejak berusia lapan tahun.
“Khabib merupakan seorang kanak-kanak yang aktif. Saya anggap dia hiperaktif. Dia sering memanjat pokok, melompat di kawasan kejiranan. Dia sentiasa bergerak,” imbau Abdulmanap dalam temu bual sebelum ini.
Abdulmanap mempunyai kaedah latihan tersendiri bagi memahirkan Khabib iaitu mengarahkannya berlawan dengan anak beruang ketika dia berusia sembilan tahun.
Video memaparkan pertempuran Khabib bersama haiwan kesayangannya itu turut tular di media sosial sekali gus mengundang kontroversi beberapa tahun lalu.
“Pertama sekali, seorang anak pasti ingin bapanya melihat sejauh mana kemampuannya. Malangnya, ketika itu tiada pilihan lebih menarik ketika dia kanak-kanak.
“Hakikatnya, pertempuran dengan beruang bukan sahaja satu bentuk latihan, malah ujian karakter,” ujar bapanya sewaktu diminta mengulas mengenai video tular tersebut.
Pada usia belasan tahun, Khabib beralih kepada seni mempertahankan diri judo dan combat sambo bagi mencari cabaran baharu.
Berbekalkan beberapa kemahiran tempur, atlet yang terkenal dengan jolokan The Eagle itu memulakan debut dalam MMA pada tahun 2008 dengan merekodkan empat kemenangan pada bulan pertama.
Selepas mencatatkan 12 kemenangan berturut-turut, Khabib mengambil keputusan berhijrah ke AS pada tahun 2012 bagi menyertai pertandingan tempur popular di dunia, UFC .
“Pada awalnya, sukar untuk tinggal di AS. Namun, rutin hidup saya hanya berkisar mengenai latihan, agama, tidur dan makan. Jadi itu memudahkan saya membiasakan diri di situ,” katanya.
Selepas melangkah ke UFC, Khabib sentiasa dahagakan cabaran termasuk mempelawa bekas juara dunia, BJ Penn berlawan dengannya menerusi laman Twitter.
Bagaimanapun, permintaan tersebut tidak diendahkan oleh Penn yang ketika itu berada di kemuncak prestasi sedangkan Khabib masih baharu dalam UFC.
“Saya sentiasa ingin berlawan dengan seseorang yang saya tonton di dalam televisyen. Ketika itu saya masih muda dan dia (Penn) adalah legenda,” kenangnya sambil ketawa.
Seteru utama
Sepanjang bertempur dalam arena UFC, kejayaan menewaskan seteru utamanya, McGregor pada tahun 2018 adalah detik paling diingati oleh Khabib dan peminatnya.
Sebelum pertarungan, McGregor telah bertindak menyerang bas dinaiki Khabib di Brooklyn dan hampir meragut nyawa beberapa orang kru.
Disebabkan rasa tidak puas hati itu, Khabib telah melompat keluar dari gelanggang sebaik memenangi pertarungan dan meluru ke arah penyokong McGregor.
Pasukan keselamatan terpaksa meleraikan pergelutan itu sebelum Khabib dibawa keluar oleh pasukannya apabila penyokong McGregor mula bertindak menyimbah arak.
Khabib berkata, tindakan memalukan itu berlaku disebabkan rasa tidak tahan dengan provokasi melampau daripada kem McGregor.
“Sukan ini penuh dengan penghormatan. Tidak wajar dicemari dengan provokasi melampau dengan menyentuh perkara-perkara sensitif.
“Saya mahu mengubah perkara ini agar tidak ada lagi orang yang akan menyentuh soal agama, negara dan keluarga saya,” katanya.
Khabib terkenal sebagai seorang Muslim yang taat kepada perintah agama dan sentiasa mendahulukan ibadah berbanding perkara lain.
Buktinya, pada Julai 2016, dia sanggup menolak satu perlawanan penting di UFC 200 bagi membolehkannya menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan.
Dia juga sering mengungkapkan kata: “Apabila Allah SWT bersama anda, tiada siapa boleh kalahkan anda.””
Tidak cukup dengan itu, Khabib juga seorang yang cintakan tanah air dan budaya masyarakat di tempat kelahirannya, Dagestan.
Rasa cinta berkenaan dizahirkan menerusi papakha iaitu sejenis topi menyerupai rambut afro yang digayakan Khabib sewaktu gimik memasuki arena.
Bercerita mengenai perancangannya selepas menggantung sarung tangan, Khabib memberitahu, dia ingin melatih bakat-bakat baharu dalam MMA bersama ketua jurulatih American Kickboxing Academy, Javier Mendez.
Menerusi panggilan telefon dengan Daniel Cormier daripada rancangan DC & Helwani, Khabib menyatakan hasrat melatih seorang lagi petinju UFC dari Dagestan, Islam Makhachev.
“Kami mempunyai ramai petinju dari generasi muda untuk dilatih. Kami akan kembali ke puncak tidak lama lagi. Saya akan menolong mereka.
“Berapa tahun anda mahu saya latih?” jerit Khabib kepada kru kejurulatihan yang naik ke atas pentas bagi meraikan kemenangan terakhirnya.