PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyifatkan kenyataan oleh The Centre for Market Education (CME) tidak tepat khususnya berkaitan kebimbangan yang timbul mengenai penggajian semula pekerja asing dan pegawai dagang.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian menyedari sepenuhnya keperluan pengambilan pekerja asing atau pegawai dagang untuk industri atau jawatan utama tertentu.
Beliau berkata, kementerian sama sekali tidak akan menolak permohonan majikan sekiranya terdapat justifikasi kukuh bahawa jawatan tersebut perlu diisi oleh bukan warganegara.
“Rasional di sebalik syarat wajib untuk membuat hebahan kekosongan jawatan di portal pekerjaan nasional KSM, MYFutureJobs adalah untuk memudahkan pengambilan bakat tempatan dan memastikan pencari kerja tempatan diberi keutamaan untuk apa-apa peluang pekerjaan.
“Majikan diminta untuk mengadakan temuduga bagi menilai kesesuaian calon tempatan untuk jawatan yang diiklankan sebagai prasyarat dalam memohon pekerja asing atau pegawai dagang,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Saravanan berkata, kementerian juga ingin menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk melihat langkah itu sebagai faktor yang akan menjejaskan aliran Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini.
Beliau berkata, usaha itu dilihat sebagai langkah positif yang berpotensi untuk meningkatkan FDI pada masa hadapan.
Menurutnya, banyak kelebihan jika menggajikan pekerja tempatan di kalangan bakat-bakat tempatan yang berpengalaman dan kompeten di pasaran.
“Selain daripada memahami bahasa dan budaya berbilang kaum di Malaysia, mereka juga memahami pasaran tempatan, mempunyai jaringan kenalan perniagaan tempatan serta mempunyai kelebihan dalam berinteraksi dengan pelanggan dan memotivasikan pekerja tempatan.
“Kemahiran ini juga amat berguna sekiranya majikan merancang untuk mengembangkan operasi ke rantau Asia.
“Majikan juga dapat memanfaatkan Insentif Pengambilan Pekerja PENJANA sekiranya menggajikan pekerja tempatan,” katanya.
Katanya, majikan tidak hanya layak untuk mendapat insentif sehingga RM1,000 bagi setiap pekerja sehingga tempoh enam bulan, tetapi juga berpeluang meningkatkan kemahiran bakat-bakat tempatan atau memberi kemahiran lain tanpa mengeluarkan sebarang kos.
Pada masa sama, Saravanan berkata, pihak berkepentingan utama, khususnya majikan dan pertubuhan yang berkaitan diseru untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menyokong pengambilan pekerja dari kalangan rakyat tempatan, terutamanya dalam tempoh mencabar ini.
Jelasnya lagi, kerajaan juga amat prihatin dengan kadar pengangguran di negara ini terutama apabila lebih kurang 300,000 graduan baru bakal memasuki pasaran pekerjaan tahun ini.
“KSM akan mengeluarkan Soalan-Soalan Lazim (FAQs) dan Garis Panduan Permohonan mengenai langkah ini sebelum 1 November ini.
“Sesi libat urus akan diadakan secara meluas untuk majikan dan kesatuan majikan bagi memberi penerangan mengenai proses tersebut,” katanya.
Maklumat lebih lanjut atau sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan pekerjaan dan juga portal MYFutureJobs, boleh hubungi agensi KSM, Perkeso di talian 03-8091 5300. -K! ONLINE