BACHOK – Seramai 30 Orang Kena Pengawasan (OKP) yang ditahan terlibat kes dadah mengikuti Program Rawatan Pemulihan Dadah menggunakan terapi zikir dan herba di surau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok di sini hari ini.
Program anjuran Cawangan Rawatan dan Pemulihan, AADK Kelantan itu bermula dengan tazkirah muhasabah diri, solat hajat, zikir, doa dan rawatan menggunakan herba terpilih.
Ketua Pegawai AADK Bachok, Zulkipli Muhammad berkata, pemulihan penagihan dadah memerlukan usaha sepanjang hayat kerana penagihan dadah dikategorikan sebagai penyakit kronik yang mudah berulang dan berpanjangan.
Menurutnya, menerusi rawatan kerohanian, amal zikir dan penggunaan herba, penagih juga memerlukan sokongan ahli keluarga terdekat selain penglibatan masyarakat.
“Individu yang terlibat dalam penagihan dadah boleh dipulihkan dan mampu berhenti menggunakan dadah ditambah dengan kesedaran, sabar, kukuhkan jati diri dan bertakwa kepada Allah.
“Penagihan dadah menyebabkan fikiran atau otak seseorang individu itu sukar untuk berfungsi dalam realiti kehidupan sehariannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Zulkipli berkata, penagihan dadah memberi kesan individu terbabit terutamanya dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat.
Katanya, dalam usaha untuk menghentikan penagihan, ia tidak semudah yang disangka apabila penagih akan mengalami kekangan ilusi dan halusinasi.
“Paling mencabar adalah untuk kita dan individu itu mengubah banyak perkara dalam satu masa agar penagih tidak kembali kepada tabiat yang lama.
“Jadi, kita memerlukan lebih banyak pendekatan yang sesuai untuk mengubati ketagihan ini termasuk latihan tabah diri dan kembali kepada fitrah ajaran agama,” katanya. – K! ONLINE