SELEPAS dua kali ditunda gara-gara penularan wabak pandemik Covid-19, Liga Sepak Takraw Kebangsaan (STL) dijangka kembali dilangsungkan pada 13 November ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya terpaksa menangguhkan semua kejohanan sepak takraw selepas bimbang dengan peningkatan kes jangkitan wabak berkenaan.
“PSM sentiasa mengikuti perkembangan Covid-19 dalam usaha mencari waktu sesuai untuk menyambung semula kejohanan tersebut selepas ia ditunda awal bulan ini.
“Bagi kami sedikit tempoh masa lagi dan jika penularan tersebut turun sedikit, kami bercadang nak sambung semula (STL) selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Kalau tiada apa-apa halangan, mungkin 13 November ini kita sambung,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Saingan minggu keempat STL yang juga perlawanan terakhir bagi pusingan pertama terpaksa ditunda ekoran peningkatan kes wabak Covid-19 baru-baru ini selain venue pertandingan juga terpaksa ditutup untuk kerja-kerja sanitasi.
Ahmad Ismail turut menjelaskan, ketika ini tiada pasukan yang membuat keputusan untuk menarik diri, sebaliknya menyokong tindakan PSM menangguhkan dahulu saingan STL demi keselamatan semua pihak.
“Tiada pasukan yang menarik diri dan semua pasukan faham dengan situasi yang kita hadapi ketika ini. Mereka juga tidak sabar untuk turun semula ke gelangggang dan saya berharap mereka mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak kerajaan,” jelasnya.