fbpx

K2

Sajian Melayu di Merdeka Canteen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YI PIN (kanan) bersama Suraya menunjukkan menu ikan masin masak lemak cili api, sambal tumis udang cameron dan daging salai sasak ros di kafe Merdeka Canteen, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya baru-baru ini. – FARIZ RUSADIO

SEWAKTU negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu, Suraya Sidek telah berkenalan dengan seorang jejaka berbangsa Tionghua.

Hasil daripada pengenalan tersebut, gadis berusia 25 tahun itu berbesar hati untuk menyajikan beberapa sajian tradisi Melayu kepada Cheah Yi Pin.

Keenakan rasa sajian tersebut telah memberi idea kepada mereka berdua untuk mengetengahkan menu-menu masakan tersebut kepada orang ramai.

Rentetan itu, mereka berdua sepakat membuka cafe diberi nama Merdeka Canteen di The Other Kitchen, Glomac Centrio, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Ogos lalu.

Menariknya, cafe berkenaan berkonsepkan pop up iaitu hanya beroperasi sekali sebulan iaitu pada minggu terakhir setiap bulan.

“Pada mulanya, saya dan rakan kongsi berhasrat membuka kedai makan atau restoran. Namun, disebabkan masing-masing mempunyai komitmen kerja, kami memilih konsep ini.

“Kebetulan pejabat Yi Pin mempunyai ruang masak dan makan yang selesa. Kami akan membuka tempahan online seminggu lebih awal disebabkan tempat terhad.

“Alhamdulillah, selepas memasuki bulan ketiga beroperasi, sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pelanggan pelbagai kaum di negara ini,” kata Suraya ketika ditemu bual baru-baru ini.

 

NASI basmati bunga telang yang dihidangkan bersama menu ikan masin masak lemak cili api, sambal tumis udang cameron dan daging salai masak ros.

 

Memilih sajian tempatan yang telah diubah suai sebagai menu utama, Merdeka Canteen mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Antara menu yang di ketengahkan adalah ikan masak lemak cili api, sambal tumis udang cameron, daging salai masak ros dan daging batang pinang salai, kupang mentega.

Merdeka Canteen turut hadir dengan pemanis dan minuman unik seperti salad timun Cina style India, taufu fah bunga telang, tropical mojito dan sirap bunga-bunga cinta.

Sarah yang berasal dari Ipoh, Perak memaklumkan, menu berkenaan adalah berubah-berubah mengikut tema yang ditampilkan setiap bulan.

“Kami mempunyai lebih 20 menu dalam simpanan. Ia akan diubah-ubah setiap minggu mengikut tema.

“Misalnya, minggu ini kami mengetengahkan tema Kenduri Main-Main.

“Minggu seterusnya, mungkin konsep lain pula. Menu dan harganya juga adalah berbeza,” ujarnya yang merupakan seorang eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat di ibu negara.

Menariknya, semua menu di Merdeka Canteen adalah resepi ciptaan Suraya sendiri yang dilakukannya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

 

MINUMAN sirap bunga-bunga cinta yang mendapat perhatian pelanggan.

 

Jelasnya, sebagai seorang yang suka memasak, dia sentiasa berusaha menambah baik menu-menu sedia ada bagi memastikan rasa dan warnanya lebih menyelerakan.

“Antara menu yang diubah suai dan mendapat tempat di hati pelanggan adalah sambal tumis udang cameron dan daging salai masak ros.

“Dalam sambal udang, saya masukkan strawberi dan daging salai itu ditambah sirap ros. Ada orang yang suka dan ada yang tidak dengan inovasi ini, bergantung kepada tekak masing-masing,” terangnya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Suraya memaklumkan, dia berhasrat membuka sebuah restoran suatu hari nanti sekiranya Merdeka Canteen berjaya.

 

SURAYA menceduk menu ikan masin masak lemak cili api ke dalam bekas congkak yang menjadi tempat lauk

 

Katanya, restoran menuntutnya memberi komitmen yang lebih selain perlu mengeluarkan modal besar pada peringkat awal untuk membeli segala kelengkapan.

“Saya memasang impian untuk buka restoran suatu hari nanti. Saya mahu lebih ramai orang menikmati sajian ini pada masa depan.

“Ruang di Merdeka Canteen ketika ini agak kecil dan hanya mampu memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI