KLUANG – Seorang pelajar tingkatan dua terbunuh selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas di persimpangan lampu isyarat Taman Kluang Perdana di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Mohamad Hairul Sulam, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan badan.
Bapa mangsa, Sulam Surip, 47, berkata dia mendapat panggilan daripada nombor telefon tidak diketahui identitinya memaklumkan kejadian menimpa anak lelaki tunggalnya, pada 8.50 malam.
“Semasa saya sedang memandu lori di Melaka saya mendapat panggilan berkenaan dan menelefon isteri (Hamidah Abdul Kadir) untuk bertanyakan kesahihan berita itu.
“Selang beberapa minit kemudian isteri saya menelefon saya kembali dan mengesahkan kematian anak kami di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini hari ini.
Sulam berkata, dia dan keluarga reda dengan pemergian anaknya itu yang rapat dengan dirinya kerana allahyarham satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik.
“Saya tidak bertemu dengan arwah dalam tempoh dua minggu ini kerana sibuk bekerja dan jika balik rumah sudah malam dan arwah sudah tidur.
“Saya sifatkan arwah anak yang baik dan pendiam namun ada masa kami bergurau dan mesra sebagai anak beranak,” katanya allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan di sini sebaik selesai laporan bedah siasat.
Dalam pada itu, Sulam, berkata, memohon pihak yang menjumpai telefon bimbit anaknnya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan supaya dapat mengembalikan semula peranti elektronik berkenaan kepada keluarga.
“Allahyarham tak bawa dompetnya tetapi iphone 7+ nya hilang dan tidak dijumpai di lokasi kejadian kemalangan.
“Saya pohon supaya sesiapa yang terjumpa atau terambil telefon bimbit allahyarham dapat memulangkannya dengan menghubungi ayah saya di talian 019-5777943,” katanya. – K! ONLINE