PUTRAJAYA – Malaysia menyerahkan kepengerusian Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN kepada Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, yang akan menyandangnya selama dua tahun bermula 2020 hingga 2022.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, sebelum ini, Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN dari tahun 2018 hingga 2020.
Menurutnya, Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-26 merupakan mesyuarat tertinggi yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal dan membuat keputusan mengenai program dan aktiviti perburuhan.
“Ia berdasarkan kepada Pelan Tindakan Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) dan Program Kerja Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) 2016 hingga 2020.
“Justeru, tema yang telah dipersetujui ialah mempromosi pekerja ASEAN untuk berdaya saing, ketahanan dan ketangkasan terhadap masa depan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat kali ini juga bersetuju dan memperakukan Kenyataan Bersama : Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-26 dan kenyataan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Campur Tiga Ke-11.
Mengulas lanjut, Awang berkata, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut melalui persidangan video hari ini.
“Mesyuarat-Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziah,” katanya. – K! ONLINE