BARCELONA – Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu meletakkan jawatan selepas dikritik teruk dan tekanan susulan prestasi hambar kelab The Catalans sejak kebelakangan ini.
“Saya di sini ingin memaklumkan kepada anda semua berhubung peletakan jawatan saya dan keputusan Lembaga Pengarah yang lain.
“Ini adalah keputusan yang baik, tenang, muafakat dan kolektif oleh rakan-rakan pengarah yang sama-sama berjuang serta komited dengan dengan projek dan kelab bahkan ada yang berkorban semata-mata memikirkan Barca,” kata Bartomeu, 57, semalam.
Bartomeu dilantik sebagai presiden kelab gergasi La Liga itu sejak tahun 2014.
“Saya selalu mengatakan bahawa apa sahaja kritikan kepada diri saya akan menjadikan kami lebih kuat dan Barcelona sering berkemampuan untuk keluar daripada masa-masa sukar.
“Bagaimanapun, apa yang kami alami dalam beberapa terakhir ini melampaui batas. Kami langsung sudah tidak dihormati sama ada saya sendiri dan ahli lembaga bahkan kami dihina, manakala ahli keluarga kami turut diancam,” ujarnya.
Minggu lalu, Barcelona tewas kepada seteru utama pada aksi el Clasico 3-1 kepada Real Madrid manakala Bartomeu mengalami tekanan dan berdepan krisis antara kelab dan Lionel Messi yang berhasrat meninggalkan kelab The Catalans pada musim panas lalu.
Pada masa sama, Bartomeu turut mendedahkan bahawa Barcelona bersetuju dengan syarat-syarat untuk menyertai cadangan liga baharu iaitu Liga Super Eropah. – AGENSI