fbpx

Penumpang cemas keretapi tergelincir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lokomotif KTMB yang tergelincir di Kilometer 595 berhampiran Stesen Genuang, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Seramai 10 penumpang berdepan detik cemas apabila keretapi yang dinaiki tergelincir daripada landasan berhampiran Stesen Genuang dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, kesemua penumpang dan kru Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu KTMB, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, tren terbabit dalam perjalanan dari Stesen Gemas ke Stesen Johor Bahru Sentral sebelum tergelincir di Kilometer 595, di Genuang, Segamat.

“Insiden itu bagaimanapun hanya melibatkan dua buah gerabak penumpang dan sebuah lokomotif.

“Landasan utama masih boleh digunakan serta tidak menghalang perkhidmatan tren lainnya,” katanya dalam satu kenyataannya , hari ini.

Kamarulzaman berkata, ekoran kejadian itu, jadual perjalanan mengalami sedikit kelewatan dijangka berlaku di sektor selatan antara Gemas dan Johor Bahru.

Jelasnya, semua tren yang melalui kawasan kejadian telah diarahkan untuk memperlahankan kelajuan.

Menurutnya, pihak KTMB turut memohon maaf kepada para penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

“KTMB telah menyediakan kenderaan alternatif bagi membolehkan semua penumpang dapat meneruskan perjalanan ke Stesen Johor Bahru Sentral,” katanya.

Kamarulzaman berkata, usaha baik pulih sedang giat dijalankan di lokasi kejadian selain siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, siasatan turut membabitkan badan di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI