KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) menggesa kerajaan mengembalikan semula moratorium menyeluruh ke atas pinjaman bank selama enam bulan lagi melalui pembentangan Bajet 2021.
Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, moratorium pinjaman selama enam bulan yang diperkenalkan kerajaan pada April lalu merupakan langkah paling berkesan untuk meringankan beban kewangan pekerja dan perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19.
Namun katanya, selepas moratorium itu tamat pada September lalu, disusuli dengan lonjakan kes Covid-19 ramai pekerja dan perniagaan kembali terjejas.
“Keputusan kerajaan untuk mengganti moratorium keseluruhan dengan skim bantuan bersasar dan bersyarat tidak memadai untuk membantu berjuta-juta pekerja terpinggir, termasuk pekerja gaji harian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sebaliknya, moratorium keseluruhan penangguhan pembayaran pinjaman bank dilihat mampu membantu secara langsung lebih daripada lapan juta pekerja dan majikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, NUBE berkata, sektor perbankan dilihat mampu menunda pembayaran pinjaman mereka selama enam bulan lagi kerana bank mencatatkan keuntungan sekitar RM32 bilion pada tahun 2019.
“Menurut Bank Negara, bank-bank terus berada dalam keadaan baik dan mempunyai ketahanan mengharungi pandemik Covid-19,” jelasnya.
Pada masa sama, NUBE menggesa supaya Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendesak Menteri Kewangan untuk mengembalikan semula moratorium ke atas pinjaman bank selama enam bulan melalui pembentangan Bajet 2021.
Katanya, langkah ini dapat menjadi pemangkin untuk kedua-dua pihak mengadakan perbincangan lanjut bagi membuahkan cadangan bernas lain untuk Bajet 2021.
“Kami rasa ini akan menyerlahkan semangat di sebalik nasihat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan Bajet 2021 tidak dikekang oleh percakaran politik,” jelasnya. – K! ONLINE