KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika ini sedang berkumpul di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra bagi menghadiri Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Difahamkan bahawa mesyuarat khas tersebut diadakan bagi membincangkan secara terperinci mengenai calon sesuai untuk dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Antara tiga nama yang dicadangkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Pertahanan dan Ahli Parlimen Bera.
Nama lain yang disebut-sebut ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan nama yang terbaharu ialah Presidennya Ahmad Zahid.
Antara MT yang dilihat turut hadir sebentar tadi, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Shabery Cheek dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar. – K! ONLINE.