fbpx

Majlis Presiden PH gesa PM adakan perbincangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021.

Majlis Presiden PH yang diwakili oleh tiga Presiden parti utama, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan DAP Lim Guan Eng melalui satu kenyataan hari ini berkata, perkara tersebut perlu dilakukan sebelum bajet itu dibentangkan di Parlimen pada 6 November nanti supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku.

“Majlis Presiden yakin bahawa semua Ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititah Tuanku.

“Seperti yang termaktub di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa dan telah membuat keputusan berdasarkan perkara tersebut,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, Majlis Presiden PH juga mengambil maklum kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober lalu menyampaikan titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, tuanku telah menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.

“Ia juga perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik termasuk dengan mengenal pasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun ini.

Jelas kenyataan tersebut lagi, berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan.

“Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden PH amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI