TAIPING – Lima stor simpanan beku ikan bernilai RM25 juta yang sedang diusahakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dijangka mampu mengatasi lambakan ikan di pasaran.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, lima projek tersebut kini sedang giat dilaksanakan dan semuanya dijangka siap pada Mei tahun hadapan.
Katanya, antara lokasi projek simpanan beku yang bakal menampung sehingga 10,000 tan ikan bagi setiap projek itu adalah di Kuantan, Pahang; Kuala Besut, Terengganu; Kuala Kedah, Kedah; Sandakan, Sabah dan Lumut, Perak.
“LKIM membantu para nelayan dengan membeli dan memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar-pasar seluruh negara. Sehingga kini, terdapat 87 persatuan nelayan memberikan kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini.
“Melalui projek ini, diharap tidak akan ada lagi berlaku lambakan ikan di pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Kedai Bergerak Parlimen Bukit Gantang di Taman Mewah, Kamunting di sini hari ini.
Menurut Syed Abu Husssin Hafiz, program kedai bergerak yang telah dilaksanakan sejak sepuluh tahun lalu itu diadakan bagi membantu penduduk setempat dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi sekarang.
“Tawaran potongan sebanyak 30 peratus diberikan kepada penduduk. Ini sekurang-sekurangnya dapat membantu penduduk membeli barangan keperluan asas dengan lebih murah.
“Selain itu, sebanyak satu tan ikan pelaling yang dibeli dari Kuala Selangor turut diagihkan kepada 500 penduduk di kawasan Taman Mewah,” katanya.
Katanya lagi, bantuan keseluruhan berjumlah RM117,000 turut disalurkan kepada masjid, surau dan rukun tetangga di kawasan Parlimen Bukit Gantang. -K! ONLINE