NICE, Perancis – Seorang lelaki bersenjatakan pisau membunuh tiga orang di sebuah gereja di kota Nice, Perancis, hari ini dengan mengelar leher sekurang-kurangnya seorang mangsa dalam kejadian disifatkan pihak berkuasa sebagai serangan jihad terbaharu yang menggemparkan negara itu.
Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi memberitahu wartawan di tempat kejadian bahawa penyerang cedera semasa ditangkap.
Seorang lelaki dan seorang wanita mati di Basilika Notre-Dame di pusat bandar peranginan berdepan Laut Mediterranean itu, manakala mangsa ketiga meninggal dunia akibat kecederaan selepas meminta perlindungan di sebuah bar berhampiran, kata sumber polis kepada agensi berita AFP.
Tiada perhimpunan gereja pada waktu serangan tetapi tempat itu dibuka sekitar jam 8.00 pagi (waktu tempatan) dan orang masuk untuk berdoa pada setiap jam, kata Paderi Philippe Asso yang bertugas di gereja tersebut.
Daniel Conilh yang merupakan seorang pelayan berusia 32 tahun di kafe Grand Cafe de Lyon tidak jauh dari tempat kejadian menyatakan, tembakan dilepaskan sejurus sebelum pukul 9 pagi dan semua orang melarikan diri.
“Seorang wanita dari gereja meluru masuk ke kafe ini dan berkata, lari lari, seseorang telah menyerang dan menikam orang ramai,” katanya kepada AFP manakala berpuluh-puluh anggota polis dan kenderaan penyelamat tiba dan segera menutup kejiranan tersebut.
Pendakwa raya antikeganasan Perancis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Perancis berwaspada sejak pembunuhan beramai-ramai pada Januari 2015 di pejabat mingguan satira Charlie Hebdo yang menandakan permulaan gelombang serangan yang telah mengorbankan lebih 250 orang.
Sementara itu, pejabat Emmanuel Macron menyatakan bahawa Presiden Perancis itu dijadualkan berkunjung ke Nice hari ini, beberapa hari sebelum cuti perayaan Al Saint’s Day yang disambut penganut Katholik Ahad ini. – AFP